Saturday, July 14, 2007

DIRI SAYA

Assalamualaikom w.r.t.

Nama saya Zainal Bin Abas. Nama pena Kasajiza A.S. Saya pernah bertugas sebagai seorang Juruhebah Radio pada tahun 70-an ke tahun 80-an. Hobi menulis sajak. Dari lebih seratus sajak yang di tulis sebuah darinya berjudul PEPATUNG memenangi Hadiah Sastera, dan di katakan saya penulis termuda yang memenangi Hadiah Sastera Malaysia.

Sewaktu bertugas sebagai Juruhebah Radio , turut menulis lirik lagu. Lirik pertama yang saya tulis berjudul 'SELASIHKU SAYANG'. lagu Irama Malaysia tersebut populer hingga kini meski pun kini lagu itu sudah berusia 30 tahun. Alhamdullilah - bukan bertujuan membangga diri. Sekedar bersyukur kerana Allah memberikan bakat menulis itu kepada saya!

Masa lapang di habiskan dengan menulis dan memancing. Walau pun kini agak jarang menghantar sajak untuk siaran dalam akhbar dan majallah, tetapi masih menulis. Saya juga menulis drama TV dan Radio (ada waktu mengarahnya sendiri), dan yang terbaru menulis novel. Dua novel telah pun siap di tulis dan di hantar ke penerbitan. Menurut kedua dua penerbit - masih dalam proses pertimbangan. (Bila saya tanya apakah ianya di tolak - mereka mengatakan tidak. Bila di tanya 'kalau di tolak saya ingin mencuba dengan penerbit yang lain' mereka kata 'jangan!)

Memancing antara pengisi masa lapang saya. Dulu di laut dengan menggunakan boat sendiri dengan enjin sangkut 60 kuasa kuda dan boat gentian kaca sepanjang 7.3 meter. Memandangkan bermain dengan boat di laut memerlukan masa yang lama dan kos yang tinggi, saya jual boat tersebut dan mengalihkan minat memancing (kiranya ada masa lapang dan wang lebihan) saya memancing di kolam berbayar. Kerana memancing itu memberi kan saya ketenangan dalam berfikir , dalam kelapangan pemandangan. Dalam memancing itu jugalah siapa yang boleh di panggil kawan. Siapa yang boleh saya panggil sebagai seorang sahabat!

Ramai di antara kenalan dan kawan yang saya temui bertanya kepada saya dengan satu soalan: kenapa sewaktu nama sedang di puncak, sewaktu di kenali sebagai seorang Juruhebah populer dahulu, saya meninggalkannya. Saya sekedar tersenyum tidak menjawab.

Manakala rakan penulis pula ada juga yang berkata . Antaranya penyair Dr.Ahmad Razali sewaktu 'Pertemuan Budayawan Selangor' di Dewan Raja Lumu ,Muzium Shah Alam hari minggu yang lalu , saya di rujuknya sebagai "permata yang hilang" kerana nama Kasajiza a.s. hilang dari persada puisi tanah air. Kenapa saya tidak lagi produktif dalam menghasilkan puisi?

Terakhir soalan yang saya terima , datangnya dari Datin Dr. Wan Rohani Zin
yang saya temui di Dewan Merdeka PWTC Kuala Lumpur sewaktu menghadhiri majlis perkahwinan Athirah Baina Raidah dengan Amir Mohd Razali. (Athira Baina Raidah adalah anak pasangan Tan Sri Dato' Seri Sanusi Junid Mantan Menteri Persekutuan dan Menteri Besar Kedah!). Datin Wan Rohani bertanya : Apakah kamu juga menyepi dari dunia Pengarahan Drama TV?

Barangkali LAMAN BLOG saya ini - untuk saya memberikan jawapan kenapa :
- 23 tahun dulu saya berhenti jadi juruhebah sedang nama di puncak.
- kenapa saya tidak lagi mengirim sajak ke akhbar dan majallah
- apakah saya bakal menyepi dari dunia penerbitan?

Kiranya sudi, ikutilah laman blog saya ini dari hari kesehari.

Sekian, Wassalam!

1 comment:

Asu said...

Zainal Abas, seorang lagenda di industri. Juruhebah hebat di RTM seketika dulu..sy doakan agar encik terus sihat dan sentiasa berada dalam lindungan Allah Swt